Pages

Friday 11 May 2012

Tema Kemanusiaan Jadi Karya Sastra


Tema Kemanusiaan Jadi Karya Sastra
Posted by PuJa on May 10, 2012
SASTERA-UTUSAN MALAYSIA
Muhammad Ali Atan
__ARKIB : 04/10/2009

Novel-novel seperti Crime and Punishment (jenayah dan Hukuman) dan Notes From Underground (nota dari bawah tanah) oleh Fyodor Dostoevsky, War and Peace dan Anna Karenina oleh Leo Tolstoy, Noli Me Tangere (Jangan sentuh Aku) oleh Jose Rizal dianggap besar dan agung kerana keupayaan berbicara secara jujur, luhur dan telus menyuarakan nilai-nilai kemanusiaan sejagat. Misalnya Crime and Punishment memaparkan seorang mahasiswa bernama Raskolnikov membenci sang oportunis yang memeras rakyat miskin. Dia memutuskan untuk membunuh seorang wanita lintah darat bernama Alyona Ivanovna yang kaya raya dan merasakan telah melakukan perbuatan yang benar.
Dostoevsky tidak membiarkan watak Raskolnikov terus bebas sebaliknya menghukum kesalahannya melalui pujukan watak Sonia agar dia menyerah diri kepada pihak berkuasa. Bagaimanapun Raskolnikov didapati tidak menggunakan harta Ivanovna sedikitpun biarpun dia berpeluang dan hidup miskin. Dia beranggapan dengan membuat kejahatan maka dia akan dapat melenyapkan kejahatan. Tetapi Dostoevsky mengemukakan penolakan dan menegaskan tujuan yang baik tidak menghalalkan cara yang jahat. Raskolnikov dihukum dibuang dan diasingkan di Siberia. Notes From Underground menaratifkan watak yang hidup bersendirian. Keperibadian introvert dianggap sejenis penyakit yang berpunca daripada kekotoran sistem sosioekonomi Barat.
Peperangan dan penjajahan melahirkan karya agung dunia seperti War and Peace merupakan hasil pengalamannya menyertai pasukan tentera Rusia dalam perang melawan Perancis pada tahun 1812. Tolstoy berfalsafah, “Perang adalah kedinamikan kehidupan kerana dalam keadaan perang, orang bersedia untuk berdamai. Manakala dalam keadaan damai orang bersedia untuk berperang.” Noli Me Tangere memaparkan strategi penjajah Sepanyol menjajah minda rakyat Filipina menerusi manipulasi gereja dibogelkan habis-habisan untuk membebaskan rakyat Filipina daripada penjajahan kolonial Sepanyol. Pendidikan dijadikan alat untuk menyedarkan rakyat akan hak-hak bernegara sendiri.
Di Malaysia novel seperti Ranjau Sepanjang Jalan oleh Shahnon Ahmad dengan jelas menjadi suara kemanusiaan segolongan petani dalam mendepani takdir kehidupan tanpa peralatan dan ilmu yang mencukupi. Pembacaan ke atas novel ini nyata memberi kesan apabila mengundang rasa simpatik pembaca. Pada masa yang sama pembaca turut memberi tanggapan dengan mempersoalkan kejahilan dan sifat degil watak Lahuma dan nasib yang menimpa Jeha.
Begitu juga novel kemanusiaan lain yang dapat diklasifikasikan dalam tema-tema tertentu seperti Salina dan Di Hadapan Pulau oleh A. Samad Said bertemakan kesan peperangan yang mengundang kemelaratan hidup dan kacau-bilau sosioekonomi masyarakat. Novel Tulang-tulang Berserakan oleh Usman Awang, Anugerah dan Panglima Salleh Selempang Merah oleh Zaharah Nawawi bertemakan sejarah perjuangan kemerdekaan dan keberanian orang Melayu melawan penindasan penjajahan dan kekerasan.
Novel Wi dan William oleh Azizi Hj. Abdullah bertemakan isu tanah yang disinonimkan dengan hak-hak orang Melayu. Novel satira politik seperti Tikus Rahmat oleh Hassan Ibrahim menyindir dengan mewatakkan tingkah laku politikus yang gila kuasa. Senjakala oleh Baharuddin Kahar mengemukakan falsafah perburuan demi mencapai impian yang berlangsung dalam nostalgia kemenangan sambil dikejar ketuaan. Novel bergarda depan dan simbolik Naratif Ogonshoto oleh Anwar Ridhwan membawa gaya naratif penglipurlara yang dimodenkan untuk mengkreatifkan percaturan strategi politik, kejahilan, kezaliman dan penawanan.
Masyarakat
Suara-suara kemanusiaan yang terpancar dalam karya sastera merupakan refleksi sosial masyarakat yang berada dalam jangkauan sensitiviti pengarang. Pelanggaran dan pemusnahan nilai-nilai kemanusiaan akibat peperangan, perebutan kuasa dan hegemoni barat menjadi adunan pengarang yang kukuh akar jatidiri dan sedar fungsi kepengarangannya untuk menegur, menempelak, menyindir, memparodikan, mensatirakan dan mengkomedikan perihal yang berlaku untuk membangkitkan kesedaran masyarakat.
Kesedaran mendorong introspeksi diri dalam menilai pemikiran dan tindak tanduk manusia yang pada akhirnya menyalakan keinginan untuk pulang ke pangkal jalan. Pepatah Melayu menyebut, sesat di hujung balik ke pangkal bermaksud kepulangan daripada jalan dan tujuan yang sesat dan binasa kepada jalan dan tujuan yang benar dan bahagia yang merupakan manifestasi inti fitrah manusia.
Dalam sejarah pertumbuhan sastera, dunia memiliki penyair kerohanian dan mistik seperti Jalaluddin Rumi. Rumi dianggap sebagai penyair sufi-mistik terbesar di sepanjang abad dunia. Kumpulan puisi kerohaniannya terutama Masnawi memaparkan ajaran kesufian melalui bait-bait puitis yang menonjolkan akhlak mulia, keasyikan menghayati kebesaran Tuhan dan kisah para kekasih Allah. Mohamad Iqbal menganggap Rumi sebagai guru kerohaniannya.
Begitu juga Khalil Gibran dan Rabindranath Tagore penyair kerohanian yang diterima dunia sastera timur dan barat yang memaparkan kecintaan terhadap Tuhan.
Kesusasteraan Melayu pula memiliki Hamzah Fansuri, Syamsudin Al-Sumatrani, Tok Kenali, Noordin Hassan, Abdullah Hussain, Hasanuddin Isa, Kemala, Shamsudin Othman, Suhaimi Hj Muhammad, Fatimah Busu dan A.Samad Said. Masing-masing mempunyai karya sastera berunsur kerohanian multidimensi yang tidak kalah dengan prosa yang sarat unsur kemanusiaannya.
Ia ditandai dengan penerokaan pengarang pada pelbagai tingkat pengetahuan kerohanian. Misalnya Hamzah Fansuri dengan Syair Bahr an-Nisa sarat simbolik dan misal mistik yang ‘melagukan’ perjalanan salik mencapai makrifah yang terakhir. Sebaliknya Syair Perahu lebih mudah difahami dan telah dihuraikan dengan baik oleh ulama Wan Mohd Saghir dengan dalil naqli, aqli dan dasar ilmu dan pengetahuan tasawuf yang dibahas dalam konteks ilmu usuluddin. Sajak-sajak Tok Kenali umumnya bersifat didaktik dengan seruan-seruan untuk taat dan beribadat kepada Allah.
Suhaimi Hj Muhammad dengan kumpulan puisi kerohaniannya iaitu Asyik menggambarkan perasaan dan ehwal batini salik mencapai makrifah kepada Allah yang berbeza-beza tahap kesukaran untuk memahaminya. Shamsudin Othman dengan sejumlah puisi kerohanian dalam kumpulan puisi Taman Percakapan, menggali hakikat pengabdian diri kepada-Nya disulami gaya bahasa yang mudah dihayati dan mempunyai nilai estetika dapat dibanggakan.
Novel Mereka Yang Tertewas oleh Hasanuddin Md Isa menghamparkan onak dan duri penerusan legasi pendidikan sekolah pondok yang berperanan meneguhkan akidah dan akhlak masyarakat Melayu desa. Novel Salam Maria oleh Fatimah Busu mengemukakan harapan keinsafan, pemerolehan hidayah, taufik dan inayah kepada Maria untuk kembali ke pangkuan kebenaran. Kumpulan puisi Pelabuhan Putih dan Timbang Terima oleh Kemala membentangkan kerohanian manusia menerusi penggunaan simbol, metaforikal dan imej alam seperti kaktus, padang pasir, pelabuhan dan warna putih yang mantap dan berhikmah menggambarkan kesucian fitrah manusia.
Penerokaan
Kumpulan puisi Al-Amin menggalurkan sirah Nabi Muhammad SAW menerusi pelukisan dan penafsiran pengarang terhadap sifat dan tingkahlaku nabi sehingga sifat-sifat nabawiyyah yang lebih khusus. Penerokaan pengarang menjadikan karya sebagai suara kerohanian terutama kumpulan puisi Al-Amin menjadi jambatan pulang ke pangkal jalan manusia kepada Tuhan melalui suri tauladan menjadi tanda aras dan bukti kecemerlangan kreativiti pengarang Malaysia.
Kewujudan unsur kemanusiaan dan kerohanian menjadi faktor pelengkap yang memperkayakan perbendaharaan kesusasteraan. Ia boleh digabungkan atau menjadikan salah satunya dominan dalam karya sastera. Pengarang bertanggungjawab menentukan jalan dan tujuan dalam penciptaan karyanya.
Komunitas Sastra Profetik pada 7 Oktober 2009
Dijumput dari: http://www.facebook.com/note.php?note_id=149905901763

0 comments:

Post a Comment